112days until
Majlis Haul, Shah Alam

Pertanyaan

Pengunjung yang Budiman,


Halaman ini diterbit sempena mengenang peninggalan seorang Mujaddid Islam abad kedua belas Hijrah, All-Habib Abdullah bin Alawi bin Muhammad Al-Haddad atau nama ringkasnya Imam Al-Haddad. Beliau terkenal sebagai sesorang yang mengandungi ilmu yang luas lagi bermanfaat. Bukan sahaja untuk insan yang hidup pada zaman beliau, bahkan kepada sesiapa sahaja tanpa batasan zaman atau umur. Kehilangan daya penglihatannya dari umur empat tahun telah digantikan Allah SWT dengan kebolehannya yang luar biasa menyerap ilmu dan meyebarluaskannya.

Di sini kami muatkan halaman ini dengan petikan riwayat Al-Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad diikuti dengan sedutan kata-kata beliau berkenaan dengan kelebihan berzikir kepada Allah SWT.

Seterusnya diisikan dengan dua amalan zikrullah yang cukup lengkap dan terkenal kemujarabannya iaitu Ratib Al-Haddad dan Wirdul-Latif serta terjemahan dan syarahan terperinci untuk maklumat umum. Juga kami isikan beberapa sya’ir dari ratusan yang dikarang beliau yang kerap dinasyidkan dalam Majlis Maulud serta Majlis Ilmu dan sering juga berkumandang di banyak majlis di negeri-negeri benua Afrika, Eropah dan Asia. Seterusnya kami petik secebis kata-kata mutiara beliau tentang takwa sebagai pesanan kepada para murid beliau.

Al-Imam Al-Haddad telah mengesyorkan suatu sistem bacaan surah-surah Al-Quran pada setiap raka’at dalam solat fardhu. Kepada pembaca yang berminat untuk mempraktiskannya, silalah muat turun jadual dengan susunan surah tersebut yang tersedia di halaman web ini. Kami juga turut muatkan senarai buku-buku karangan beliau yang telah dicetak untuk dimanfaatkan oleh masyarakat Islam khususnya yang kebanyakannya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Melayu, Swahili, Jerman dan lain-lain. Banyak dari kalangan penuntut dan pembaca buku-buku ini menceritakan tentang seringnya terbongkar rahsia-rahsia ilmu yang baru setiap kali diulang bacaan mereka. Wallahu A’lam.

Tujuan kami khususnya ialah memperkenalkan Al-Imam Al-Haddad kepada masyarakat Nusantara Melayu dengan lebih dekat supaya lebih ramai lagi di kalangan kita bakal mendapat nikmat dari apa yang dihadiahkan oleh beliau seperti banyak dan sering diperdengar dari mereka yang berpengalaman dengan ilmu yang ditaburkannya dan amalan yang disyorkannya.

Diharap dengan adanya laman web ini, dapat membantu kita mendapat petunjuk Allah SWT serta meneruskan perjalanan hidup kita di alam ini dan alam seterusnya di dalam perlindungan, maghrifah dan rahmat-Nya. Ameen.

Majlis-Majlis Haul Imam Al-Haddad tahun 1432H /2011M
 
Maklumat terkini berkenaan dengan majlis-majlis Haul Tahunan yang sedang dalam perancangan di setiap negeri dipaparkan untuk maklumat umum.  Tahun ini merupakan genap 300 tahun wafatnya Imam Al-Haddad jadi ada beberapa program tambahan dirancangkan.  InsyaAllah, Majlis Kemuncak Haul Akbar tahun ini dilangsungkan sebagai acara terakhir iaitu pada 8 Oktober 2011 di Masjid Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam mulai jam 5 petang.
 
Pihak kami tambahkan program Seminar/Forum dibeberapa tempat secara mengambil kesempatan kegadiran ulama' dalam dan luar negara yang akan mengambil bahagian di tempat-tempat tertentu.  Dalam progam ini, beberapa kertas kerja akan dibentangkan berkenaan cara hidup bimbingan Rasulullah s.a.w. yang diamalkan turun temurun yang bakal memastikan keselamatan insan dunia dan akhirah.  Program Forum Perdana ini juga akan dilangsungkan di Masjid Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam mulai jam 10:00 pagi pada Sabtu 8 Oktober 2011.
 
Program dawrah bersama ulama' ulung dari Madinah juga akan dilangsungkan di Shah Alam sejumlah 6 sessi.  Sila ikuti maklumat terperinci di 'Majlis Haul 2011'.
 
Tiada apa-apa bayaran yang diperlukan untuk mengambil bahagian dalam mana-mana acara kelolaan pihak kami. 
 
Harapan pihak kami menganjurkan majlis-majlis seperti ini ialah mengimarahkan masjid-masjid, menyebarkan ilmu yang bermanfaat serta meraih hujan rahmah dan barakah kurnian Allah s.w.t. keatas masyarakat Malaysia khususnya.  Sila bersama kami bersama keluarga, kaum kerabat dan sahabat nanti.